RSS

Tuesday, December 29

KASBI 09 : Skuad Beliawanis Jerung Mengganas!!!

19 Disember 2009, Sabtu - Pasukan Beliawanis Shah Alam/Klang (SAK) telah menghantar dua pasukan dalam acara bola jaring dan bola tampar dalam menyahut cabaran Karnival Sukan Belia Islam (KASBI) 2009 yang bertemakan “Menzahirkan Keperkasaan Belia” bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia untuk acara perasmian dan German-Malaysian Institute (GMI) bagi acara-acara kategori wanita.
Aksi sopan tapi menyerlah skuad beliawanis SAK

Pasukan beliawanis bersama trofi-trofi kemenangan

Justeru para pemain yang terus berkobar-kobar semangat terus memberikan permainan yang mantap meskipun cuaca ketika itu hujan. Pasukan bola tampar “Shark Alam Warriors” menentang pasukan Melaka untuk permainan pertama. Meskipun memperoleh mata terkebelakang berbanding pasukan Melaka pada awal permainan, setiap pemain terus memberi semangat antara satu sama lain dalam mengejar mata. Laungan-laungan takbir serta ” daripada surah al-Anfaal ayat 17 yang bermaksud “dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar tetapi Allah lah yang melempar ” membakar semangat peserta untuk terus memberi saingan yang sengit. Sorakan ”Dua Digit” juga bergema dalam memberi sokongan kepada pemain mengejar mata. Namun begitu, “Shark Alam Warriors” tetap tewas kepada Melaka.

Kekalahan terhadap Melaka sama sekali tidak melemahkan semangat pemain malahan sorakan dan laungan takbir yang bersahut-sahutan daripada penyokong SAK memberikan nafas baru kepada pemain untuk memberi saingan yang sengit kepada pihak lawan. “Shark Alam Warriors” berjaya menewaskan pasukan DHL dan Penang meskipun dalam keadaan cuaca yang hujan.

Cergas dan tangkas dalam gaya sopan

Cergas dan tangkas dalam gaya sopan

Kapten pasukan bola tampar “Shark Alam Warriors”, Nor Atiqah Dollah Sani sedikit pun tidak gentar dengan pihak lawan yang sentiasa membuat servis yang mantap sebaliknya memberi permainan yang cemerlang dengan melakukan servis sebanyak 7 kali berturut-turut dalam mengutip mata ketika menentang pasukan Penang. “Shark Alam Warriors” amat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan rahmatnya, pasukan bola tampar SAK yang diiringi dengan sokongan dan sorakan yang ceria berjaya merangkul naib Juara.

Kejayaan ini sedikit sebanyak mengubat kekecewaan pasukan bola jaring yang tewas di tangan pihak lawan.

Tahniah juga diucapkan kepada saudari Khairunnisa Mazlan, Nurul Izzah Fauzan serta Athirah Taha atlet SAK yang tidak mengenal penat dan lelah yang telah mewakili dalam kedua-dua acara bola jaring dan bola tampar.

-Siti Fatimah Abu Talib

Foto oleh: Hidayah Jasmi dan Norhismalisa


http://pembinaselangor.com

http://pembina.com.my/kasbi/

http://ismashahalam.net/v1/?p=444