RSS

Monday, March 14

Di Mana Bumi Dipijak, Di Situ Islam Ditegak


Belum luput memori di Sepang Gold Coast pada Rehlah Beliawanis 2010 yang lalu, Beliawanis Shah Alam kembali menjejak pasir putih pantai pada 6 Mac 2011, dengan bertemakan “Di Mana Bumi Dipijak, Di Situ Islam Ditegak”.

Sebuah bas diiringi dua kenderaan pacuan empat roda memulakan perjalanan tepat jam 8.30 pagi membawa seramai 48 orang mahasiswi daripada UiTM Shah Alam, UiTM Puncak Alam, MSU dan Monash University. Berbeza dengan konsep yang lalu, kali ini Beliawanis Shah Alam menyentuh seputar isu Ghazwatul Fikr yang bermaksud Serangan Pemikiran.

Setiap aktiviti yang disusun membawa seribu pengertian dan makna kepada betapa pentingnya belia dan wanita khususnya untuk memahami serangan-serangan pemikiran yang dilancarkan musuh-musuh Allah kepada Islam. Semua aktiviti yang dijalankan dikendalikan oleh Saudari Noraimi Syazwani bt Mohd Yusoff.

“The Secret Boxes” merungkai kepentingan setiap individu mengenali dan menjalinkan ikatan ukhuwwah dengan mengambil pengajaran daripada Sirah, iaitu kisah Rasulullah mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar sehingga lahirlah sebuah ketumbukan pemuda dan pemudi yang bersedia berjuang untuk Islam, sekaligus membawa Islam ke persada dunia. Musuh Allah sentiasa mencari-cari peluang untuk mencerai-beraikan ikatan persaudaraan apatah lagi ikatan kekeluargaan sesama Muslim agar runtuh tembok-tembok perisai kekuatan Islam.

Seterusnya, aktiviti yang diberi nama “I am Powerful!” memberi pengajaran bahawa sehebat mana sekali pun asal-usul kita, sehebat mana pun negeri tempat kita lahir, semulia mana sekali pun nasab keturunan kita, akhirnya seluruh umat muslimin itu bernaung di bawah satu Aqidah. Kedudukan geografi yang membatasi setiap negeri bukanlah penghalang penduduknya bersatu di bawah panji-panji Islam. Musuh-musuh Allah telah melancarkan dasar pecah dan perintah ke atas seluruh negara-negara Islam semenjak kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniah pada 1924, dan meletakkan pemimpin-pemimpin bonekanya dengan harapan Umat Islam tidak akan bersatu dan terhapusnya institusi Khilafah.

Seterusnya, aktiviti “The Blind-Rich Man” menguji kecekapan dan ketelitian peserta yang ditutup mata dalam mendengar arahan ahli kumpulan demi mengutip markah. Pengajaran yang diperolehi adalah seorang individu itu harus meneliti sumber berita yang didapatinya sebelum mempercayai dan mengamalkannya.

Selepas menunaikan fardhu Zohor secara berjemaah berlantaikan kanvas dan berbumbungkan langit nan biru, para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk aktiviti dalam kumpulan. Setiap kumpulan diberi tugasan untuk melakonkan sebuah sketsa. Sketsa-sketsa tersebut diadaptasi daripada elemen-elemen serangan pemikiran yang dilancarkan ke atas umat Islam iaitu Fun, Fashion, Song, Sport, Sex dan Screen. Lakonan yang dipentaskan oleh setiap kumpulan sangat kreatif dan membuktikan Beliawanis Shah Alam juga berpotensi dalam seni pementasan kreatif.

Sebagai menutup tirai Rehlah Beliawanis 2011 kali ini, sebuah tazkirah disampaikan oleh Saudari Rosezalina Bt Lazim yang bertajuk “Ghazwatul Fikr Dulu dan Kini” dan resolusi program disimpulkan oleh Saudari Khairunnisa Mazlan.

Alhamdulillah Rehlah Beliawanis 2011 berjalan dengan lancar dengn izin Allah jua. Tahniah kepada team penganjur Rehlah Beliawanis 2011 yang diketuai Saudari Khairunnisa Razali selaku Pengarah Program. Insya-Allah kita berjumpa lagi di Rehlah Beliawanis yang akan datang.

Lagu tema Rehlah Beliawanis 2011

Obor Semangat

Umat kini diibaratkan
Buih yang terapung di lautan
Dihanyut terhempas di pukul gelombang
Dan lenyap bila dihembus oh angin
Pada siapa nak diharapkan
Yang tinggal cuma sebatang tubuh
Mulakan dari langkah yang pertama
Biar putih tulang jangan putih oh mata

Gunalah falsafah si cengal emas
Simbol tiang seri utama
Gagah berjuang di tengah umat
Cahayamu pasti gemilang

ISLAM PASTI BANGKIT LAMBAT LAUN
Janji TUHAN pasti terlaksana
Waktu jangan lagi dibuang sia-sia
OBOR SEMANGAT AYUH KITA NYALAKAN…


Disediakan oleh,

Khairunnisa Mazlan

JK Aktivisme Mahasiswa

PEMBINA Shah Alam







1 comment:

sherasan said...

salam akhawat yang dirahmati.
rehlah yang menarik..tahnih. saya sangat kenal dengan ukhti noraimi.

Post a Comment