Monday, April 2
Ladies Day Outz!!!
Sunday, December 26
Rehlah Menyulam CINTA antara Beliawanis PEMBINA
Seindah Sedamai Pantai Melambai Gemalai
Begitulah Hati Merindu Kasih Yang Padu
Bagaikan Pepasir Basah Di Simbah Lautan
Begitulah Perjuangan Ini
Biar Basah Dengan Iman dan Ukhwah
Kita Ingin Segalanya Indah
Sebersih Pasir Pantai Memutih
Seindah dan Secerah Pawarna
Berseri Ukhwah Dipupuk Kasih
Begitulah potongan lirik nasyid yang menemani di sepanjang perjalanan peserta Rehlah Beliawanis Pembina Shah Alam Klang 2010 bertemakan “Ikat Hati Sulam Cinta” di Sepang Gold Coast, Sepang pada Sabtu, 18 Disember 2010.
Seawal jam 8 pagi di Masjid Negeri, sebuah bas yang sarat bergerak dengan 40 orang penumpang yang berbekalkan sekeping hati yang dipenuhi semangat dan diiringi kuntuman doa semoga perjalanan ini mendapat perlindungan Allah dan ukhuwah yang disemai mendapat keberkatan, Insya-Allah. Peserta rehlah kali ini terdiri daripada pelajar UiTM Shah Alam, UiTM Puncak Alam, MSU, Uniti College dan IIC.
Sambil menikmati sarapan pagi yang disediakan Noraimi Syazwani Mohd Yusoff dan Pengarah Program, Nur Azila Yahaya, nasyid yang bertemakan ukhuwah dan perjuangan menjadi halwa telinga. Perjalanan yang dijangka selama satu jam akhirnya tiba di destinasi sambil setiap mata tidak lepas memandang keindahan laut, langit dan ombak ciptaan Allah. Subhanallah!
Setelah mengambil posisi strategik di bawah pohonan dan khemah pun mula didirikan, sesi taaruf ringkas dimulakan oleh AJK Aktiviti, Khairunnisa Mazlan dan Nur Sakinah Khairir. Aktiviti diteruskan dengan permainan, “If You Know Me, I Know You Better”, di mana setiap peserta diberikan tag nama peserta yang lain dan perlu mencari pemilik tag nama tersebut dan membentuk rantaian manusia. Kemudian, peserta diminta untuk membentuk satu bulatan dan AJK akan menyebut perkara yang berkenaan maklumat peribadi peserta contohnya bulan lahir dan tempat tinggal. Peserta yang berkenaan perlu keluar dari bulatan dan menukar tempat dengan peserta lain. Seterusnya, peserta diminta membuat satu barisan menghadap laut yang terbentang luas mengikut ketinggian dan dibahagikan kepada lima kumpulan untuk aktiviti seterusnya yang lebih mencabar.
Mengambil posisi di tengah laut yang sedang pasang, setiap kumpulan diberi sekeping kertas untuk aktiviti yang diberi nama “Sister’s War”. Aktiviti yang menguji kerjasama dalam kumpulan dan penyusunan strategi ini memerlukan setiap kumpulan melindungi kertas yang diberi daripada basah, koyak dan rosak. Ada kumpulan mengambil strategi lari sejauh-jauhnya dari musuh dan ada yang bertahan dengan melindungi kertas dengan tubuh badan. Akhirnya, kumpulan yang bertahan dan berpelukan kuat demi sebuah kertas memenangi peperangan di tengah air laut itu. Kesimpulan yang diperolehi dari permainan ini boleh diumpamakan seperti seekor kambing yang hidup berseorangan lebih mudah dibaham serigala berbanding seekor kambing yang hidup berkumpulan, kerana itulah ikatan persaudaraan itu penting, lebih-lebih lagi apabila diikat kerana Allah.
Sekembalinya ke pantai, masing-masing santai menikmati keindahan luasnya langit dan laut yang terbentang, sambil dihidangkan air teh dan kerepek. Aktiviti diteruskan dengan permainan “Galah Panjang Pantai”. Permainan tradisional ini menguji keberanian menghadapi tentangan dan kekuatan strategi setiap kumpulan dalam mempertahankan kawasan masing-masing.
Lewat tengahari, sebelum masuk waktu Solat Zuhur, semua peserta menjamah hidangan tengahari yang menyelerakan di dalam dulang, mengamalkan seruan Sunnah Rasulullah s.aw agar makan secara berjemaah. Setelah masuk Waktu Zuhur, semua peserta membersihkan badan dan mengambil wudhu’ untuk bersiap-siap solat berjemaah.
Berbumbungkan langit beralaskan tikar dan pasir, sambil menghadap laut yang terbentang luas, solat Zuhur berjemaah didirikan. Suasana yang hening dan damai menambahkan rasa kehambaan pada Pencipta tatkala dahi mencecah pasir pantai yang halus.
Selepas itu, hati-hati yang bersih itu disajikan dengan tazkirah mengenai “Hati” oleh Ketua Beliawanis, Zaireen Zainudin. Kebersihan dan penjagaan hati adalah aspek penting dalam kehidupan seorang Muslimah kerana di situlah tempat Allah menurunkan hidayah buat hamba-hambaNya. Hati yang rosak boleh membawa kepada perpecahan dan pergaduhan sesama manusia. Hati yang bersih boleh mengubah kekejaman kepada kelembutan dan kasih sayang.
Hari beransur terik, namun setiap peserta masih bersemangat untuk meneruskan aktiviti di dalam air laut yang semakin menghampiri pantai. Peserta diagihkan kepada empat kumpulan dan beratur diketuai seorang Ibu. Ibu perlu merampas anak orang lain dan anak itu akan mengikut Ibunya yang baru. Kumpulan yang paling panjang akan memenangi permainan tersebut. Apabila masing-masing sudah basah lencun dengan air laut, maka aktiviti mandi laut pula mengambil tempat.
Apabila azan Asar berkumandang, semua naik ke pantai dan membersihkan tubuh. Solat Asar berjemaah didirikan sebagai penutup kepada aktiviti di Sepang Gold Coast pada Sabtu itu. Setelah itu, khemah dikemas dan barang-barang disusun menanti bas menjemput pulang.
Di dalam bas, sekali lagi lagu tema dinyanyikan dan penggulungan dibuat oleh Pengarah Program. Bas tiba di perkarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam tatkala azan Maghrib berkumandang. Selepas salam wida’, masing-masing pulang dengan cinta yang bercambah, menanti untuk dibaja lagi.
Khairunnisa Mazlan
AJK Aktiviti
Rehlah Beliawanis 2010
Laporan penuh sila layari www.pembinashahalam.com